Wednesday, September 10, 2008

MISI RIBUT SELAT KELANG

Beramal Kerana Allah

Oleh : Pen. S/u Unit AMAL Johor

Selangor: 6 September (Sabtu). Diatas arahan Unit AMAL Pusat, seramai 30 anggota Unit AMAL Johor yang diketuai oleh Sdr.Noorkhalim bin Haji Sakib bersama-sama dengan Angoota Unit AMAL negeri-negeri lain telah berada di DUN Selat Kelang bagi misi membantu rumah mangsa ribut yang melanda pada rabu lepas. Sdr.Noorkhalim yang juga selaku Pengarah AMAL Johor berkata sebanyak 300 buah rumah yang dilaporkan terlibat. Namun begitu anggota Unit AMAL Johor telah di tugaskan di kampung Sungai Udang tidak dapat meneruskan kerja-kerja membaiki rumah mangsa berikutan hujan turun dengan lebat. Turut hadir membantu adalah Juara Akademi Nasyid iaitu Sdr.Azhan Atan.

Sementara menunggu hujan reda, anggota Unit AMAL Johor bersama sebahagian anggota RELA telah membantu penduduk kampung membungkus bubur lambok untuk diagih-agihkan kepada mangsa.

Selesai solat Zuhor, sebahagian anggota AMAL Johor telah membantu membaiki 3 buah rumah yang terlibat dan selesai pada waktu petang.

Kami anggota Unit AMAL Johor mengucapkan ribuan terimakasih kepada ADUN Selat Kelang kerana menyambut kehadiran kami dengan baik.


Friday, August 29, 2008

Petugas Unit Amal meninggal dunia ketika hendak bertugas

Mohd Sabri Said
PERMATANG PAUH, 28 Ogos (Hrkh) - Seorang ahli Unit Amal Kawasan Permatang Pauh, Saiful Anzani Rozi,20, meninggal dunia pagi tadi di Hospital Seberang Jaya akibat kemalangan motosikal ketika menuju ke Sekolah Permatang Pasir untuk bertugas mengawal Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa.
Allahyarham yang tinggal di Kampung Permatang Janggus, Permatang Pauh di bawa ke hospital oleh rakanya mengalami pendarahan teruk dalaman di bahagian dada.
Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Permatang Janggus selepas Zohor hari ini.
Sebelum itu, semalam wakil Husam, Mohd Ali Akbar Yusuf menyampaikan sumbangan wang ringgit kepada ibu bapa Allahyarham di luar bilik ICU hospital berkenaan.
Beliau diiringi oleh Ahli Jawatankuasa Unit Amal Negeri, Mohd Aminudin Hashim dan Setiausaha Unit Amal Negeri Baharin Ahmad.
Bapanya, Rozi Din ketika dimaklumkan kemalangan yang menimpa sedang bertugas mengangkut pengundi Barisan Nasional (BN) manakala ibunya, Salmah Din sedang membuang undi.
Kejadian tersebut berlaku sekitar jam 12.20 tengahari apabila motosikal yang dinaikinya bertembung dengan sebuah lagi motosikal. Allahyarham dikatakan terhumban dan terkena tiang elektrik yang berada di bahu jalan.
Menurut Mohd Aminudin, Allahyarham memang seorang yang senang diajak berbincang dan sentiasa memberikan masa jika diarahkan.
Di malam terakhir Pilihan raya Kecil Permatang Pauh, Allahyarham dan rakanya terlibat dengan tugas sebagai pengawal keselamatan pimpinan PAS yang berada di sepanjang masa berkempen. Semoga keluarga allahyarham bersabar dengan tragedi yang menimpa. Al-Fatihah. - mks. _

Wednesday, August 20, 2008

SEKITAR TUGASAN MUKTAMAR KE-54 DI IPOH

Alhamdulillah Unit Amal Johor telah menghantar 17 orang petugas untuk bertugas selama 5 hari sempena Muktamar PAS ke-54 yang diadakan di Ipoh bermula pada 13 ogos hingga 17 ogos yang lalu. Berikut adalah gambar-gambar yang sempat ana "shoot".

Perbarisan Perasmian Muktamar Pemuda PAS Pusat


Kawalan Keselamatan Di Hotel Penginapan Mursyidul Am, Presiden Dan Seluruh Exco PAS Pusat Juga Delegasi-delegasi Asing.

Perbarisan Perasmian Muktamar Penuh
Keselamatan Di Dalam Dewan MuktamarMendengar Dengan Tumpuan Yang Penuh

Azhan Atan (Akademi Nasyid) Dan Wazi Abd. Hamid (x-Juara Cubprix & Jurulatih Moto GP)

Bertugas Di Ceramah Perdana

Bergambar Kenangan Bersama Pengarah Amal Pusat, Sebahagian ALP Pusat , Pengarah Amal Perak dan Terengganu.

Kepada seluruh penyumbang kewangan, kami di Jabatan Amal Negeri Johor mengucapkan jazakallahu khairan kathira. Juga kepada petugas-petugas Unit Amal Johor khususnya dan Unit Amal sekuruh Malaysia umumnya tahniah diucapkan tahniah kepada antum semua kerana telah menjalankan tugasan dengan penuh komitmen dan komited disepanjang berlangsungnya MUKTAMAR PAS KE-54. Takbir!!!
Jumpa Lagi...


Tuesday, August 19, 2008

Pemimpin perlu selami derita rakyat - Ustaz Idris

Ramai orang mahu jadi pemimpin kerana senang kaya, dapat pangkat, kuasa dan populariti. Jawatan pemimpin tidak lagi dianggap amanah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Timbalan Pengarah Tarbiyah PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menjelaskan maksud 'ulul amri' ketika diwawancara Harakahdaily.

HARAKAH: Ramai orang mahu jadi pemimpin tetapi segelintir berjaya memegang jawatan pemimpin. Boleh ustaz jelaskan perkara ini?

USTAZ IDRIS: Pertama apabila kita bercakap soal kepimpinan, perkara yang perlu kita sedar ialah apabila lahir seseorang, dia tidak akan terus menjadi pemimpin yang baik. Ia perlu pada satu bentuk latihan (tamrin) yang perlu kita lakukan, satu oleh parti kepada dia dan yang kedua dia sendiri bersedia untuk diprogramkan untuk menjadi pemimpin dan kita mempunyai piawai dan kalau tidak pun Nabi Muhamad s.a.w., Khalifah Ar-Rasidin yang kita anggap sebagai satu lambang paling tinggi.
Begitu juga kepada yang sering diuar-uarkan ialah berkenaan dengan pemerintahan Sayidina Umar Abdul Aziz. Sekurang-kurangnya kita mesti menuju ke arah itu. Setakat hari ini kita melihat tidak ada lagi yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin agung dunia yang bukan di kalangan umat Nabi Muhamad s.a.w. Kita dapat buktikan bagaimana Baginda sendiri walaupun dunia itu berada di bawah tapak kakinya, tetapi Baginda masih dapat kekalkan sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat dan mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
Maka dengan itu sepatutnya kita berasa tercabar dan berasa malu dengan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menjadikan Umar Abdul Aziz sebagai ikon. Sepatutnya kita sebagai pemimpin dan wakil rakyat PAS kena rasa tercabar dengan kenyataan ini dan berusaha lebih daripada Guan Eng.
Ini yang perlu kita lakukan supaya orang tidak akan nampak kita sebagai parti yang hanya tahu bercakap tetapi tidak sama dengan apa yang dilakukan.

Apa yang menyebabkan sebahagian besar pimpinan atau wakil rakyat sukar untuk menunaikan janji dan mesra rakyat selepas meraih kemenangan?

Sebenarnya dalam soal ini, Islam telah memberikan satu formula yang mudah bagi kita. Satu dalam soal bab dunia kita kena melihat orang yang lebih bawah daripada kita.
Kita kena melihat penderitaan rakyat dan penderitaan penyokong tegar PAS. Mereka bertungkus-lumus untuk kejayaan pemimpin. Mereka tidak mengharapkan wang malahan mereka mengorbankan segala-galanya.
Pengalaman saya bertanding dalam pilihan raya umum ke-12. Kadang-kadang saya hendak menitis air mata apabila melihat pengorbanan penyokong PAS di peringkat bawahan.
Malam penamaan calon di Batu 9 di Pejabat Perhubungan PAS Kedah, seorang tua datang kepada saya. Saya tengok cara pakaian dan hidup memang dia seorang yang susah. Orang kampung, tetapi dia bagi duit RM10 kepada saya. "Ambil la ustaz, inilah yang saya boleh...(ketika menceritakan peristiwa itu Ustaz Idris terhenti seketika menahan sebak).
"Inilah yang saya boleh sumbangkan untuk...(Ustaz Idris sebak dan terdiam) untuk perjuangan PAS. Saya tidak boleh bagi apa, ini saja yang saya boleh bagi. Saya tolak, saya kata saya tak nak...(kata-kata ustaz terhenti dan menangis...).
Saya kata saya tak nak duit itu saya nak bagi balik duit itu. Lama-lama dia menghilang.
Itulah contoh yang dapat kita lihat bagaimana pengorbanan orang bawahan kita.
Sebab itu kita mesti meletakkan sikap pakcik itu sebagai satu contoh yang boleh mendidik diri. Ini dalam soal dunia.
Unit Amal merupakan ikon saya kerana boleh mendidik jiwa saya. Saya merasakan Unit Amal berkhidmat tidak ada benda yang mereka harapkan daripada parti. Mereka bertungkus-lumus, berhujan panas dan mereka langsung tidak ada kepentingan dunia.
Sebab itu kita lihat Nabi Muhammad s.a.w. dididik hatta dipelihara oleh Abu Talib. Abu Talib orang susah. Sebab itu Nabi cukup prihatin terhadap orang susah. Banyak hadis yang menunjukkan tentang "Sesiapa yang tidak ambil tahu tentang urusan saudara kami yang lain maka dia bukan daripada kalangan aku."
Ini menunjukkan perlunya kita mengambil berat berkenaan masalah rakyat terutama mereka yang kurang bernasib baik.
Tanggungjawab pemimpin itu berat tetapi mengapa senario sekarang ramai berebut-rebut untuk menjadi pemimpin?

Kita tengok Sayidina Umar Al-Khattab ketika dilantik menjadi pemimpin, sehingga dia memberitahu; "Kalaulah jalan yang dibuat itu walaupun manusia jarang lalu tapi oleh kerana yang lalu itu kalau ada binatang yang jatuh sebab rosak jalan itu Umar akan ditanya oleh Allah SWT."
Ini menunjukkan Sayidina Umar tahu betapa beratnya tanggungjawab seorang pemimpin. Kita sekarang bukan masalah binatang yang memerlukan bantuan tetapi manusia amat memerlukan kepada prihatin seorang pemimpin.
Sayidina Umar pergi ziarah malam-malam tengok rakyatnya. Ini suatu perkara yang sukar untuk dilakukan oleh pemimpin. Ini perkara yang pernah ditunjukkan dalam sejarah Islam tentang tanggungjawab Sayidina Umar terhadap rakyatnya.
Hadis Nabi bermaksud; tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah SWT antaranya ialah pemimpin yang adil akan duduk dekat dengan Nabi dan mendapat perlindungan Arsy nanti tetapi dalam masa yang sama ada dugaan.
Sebab itu Sayidin Umar Al-Khattab waktu anak dia (Abdullah) hendak dicalonkan menjadi penggantinya, Umar berkata; "cukuplah keluarga Umar tidak mampu menghadapi soalan di hadapan Allah SWT."
Sedangkan Umar cukup terkenal dan boleh digandingkan dengan dua Umar, satu Umar Al-Khattab dan Umar Al-Aziz yang cukup hebat. Itu pun mereka berasa gerun dengan soalan pada hari akhirat.

Bagaimana pandangan ustaz apabila pemimpin dalam parti terlalu diagung-agunkankan?

Islam tidak membenarkan manusia mengagungkan Nabi Muhamad s.a.w. melebihi Allah SWT. Hubungan Nabi Muhammad s.a.w. dengan manusia sebagai umat dengan Rasul. Kita berdoa dengan Allah bukan dengan Nabi Muhammad s.a.w.
Baginda tidak membenarkan manusia terlalu mengagungkannya. Ini perlu dijadikan sebagai asas dalam kehidupan kita jika mahu menjadi pengikut kepada seorang pemimpin.
Kita perlu menjadi pengikut selagi pemimpin tidak menyuruh perkara yang bertentangan dengan agama Islam. Nabi Muhammad s.a.w. menyebut; "Tidak boleh taat kepada makhluk yang melakukan maksiat kepada Allah."
Sebab itu PAS tidak pernah mendewa-dewakan mana-mana pemimpin. Dalam sukatan tarbiyah, PAS meletakkan akidah Islam sebagai utama. Ahli PAS menyertai perjuangan parti bukan kerana seorang pemimpin.
PAS tetap mempunyai dasar yang begitu dan ini suatu kejayaan. Dalam soal pengikut kita tidak taksub kepada mana-mana pemimpin.
PAS pernah kehilangan Yang Dipertua pertama, Tuan Guru Haji Muhammad Fuad tetapi PAS terus bergerak dan dipimpin oleh Dr Abbas. PAS kehilangan Dato' Asri Muda tokoh yang hebat tetapi apabila beliau keluar parti PAS terus mara.
Begitu juga kita pernah kehilangan Setiausaha Agung PAS, Osman Abdullah; panglima jihad Ustaz Azhar Ali; bekas Menteri Besar Kelantan, Dato' Mohd Nasir dan bekas Naib Presiden PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad�yang banyak membuat kertas kerja PAS serta membentang program tarbiyah tapi apabila masuk Umno ahli PAS tidak mengikut jejak beliau. Ini menunjukkan kita tidak taksub kepada mana-mana pemimpin.
Ahli PAS berjuang bukan kerana pemimpin tetapi dasar yang PAS pegang. Itu yang sepatutnya ahli PAS pegang. Dan itu juga yang Nabi ajar kepada umat-Nya.
Kita boleh jadikan seorang pemimpin itu sebagai ikon selagi dia berpegang dengan prinsip agama. Jika pemimpin tersebut menyimpang daripada prinsip agama kita tidak perlu taat kepadanya. - lanh _

Tuesday, July 01, 2008

Jambori Unit Amal Peringkat Kebangsaan

Kontinjen Unit Amal Johor Sewaktu Menikmati Makanan Yang Disediakan

Sdr Ismail, Ketua Kontinjen Sedang Menyampaikan Hadiah Kepada Seorang Peserta Johor


YAB Dato Seri Ir Hj Mohd Nizar Dan Pimpinan Unit Amal Pusat Menyanyikan Lagu Amalulillah Bersama-sama Peserta Jambori

YAB Menteri Besar Perak Sedang Menyampaikan Ceramah Perasmian Jambori Unit Amal Kebangsaan 2008

Sdr Ismail Menerima Sijil Penyertaan Daripada YAB Menteri Besar Perak Sambil Diperhatikan Oleh Ustaz Norazli Musa, Ketua DPP Perak

Wednesday, April 30, 2008

Jambori Amal Kebangsaan 2008


Jambori Amal Kebangsaan 2008


Sesiapa Yang Berminat Untuk Menyertai Unit Amal Johor Ke Jambori Unit Amal Kebangsaan Sila Hubungi :


Sdr Ismail Semaon

019-7561955

Ketua Kontinjen Johor


Atau


Ketua Penyelaras Unit Amal Kawasan Masing-masing


Maklumat Jambori Kebangsaan 2008 :

30 Mei - 1 Jun 2008

Lembah Sayong, Kuala Kangsar, Perak



Sunday, January 27, 2008

Tazkirah: 'Perlukah saya buat kenduri arwah?'

Oleh : Azamin Amin
"Perlukah saya sediakan makanan dan buat kenduri arwah kepada orang kampung sedangkan keluarga saya tengah sedih sangat sebab baru sahaja kehilangan ayah tersayang?" tanya seorang remaja kepada saya yang baru kehilangan ayahnya yang tercinta kerana sakit kronik.

Terkedu dan pernah juga terfikir dalam benak hati, namun kerana kenaifan saya di bidang agama saya diamkan sahaja sehinggalah muncul kembali soalan yang terbit daripada anak muda belasan tahun ini yang datang daripada keluarga yang susah.

Lantaran itu, walaupun sedikit kesibukan dengan tugasan, saya meluangkan masa mencari jawapan yang mungkin atau mengundang pelbagai pandangan dan polemik serta emosi kurang senang banyak pihak.

Namun atas landasan mencari ilmu termasuk mahu berkongsi bersama, saya kutip beberapa pendapat yang boleh dijadikan panduan kepada semua khususnya kepada anak muda yang bertanya itu sehingga saya membiarkan dia termanggu tanpa sebarang jawapan sebelum ini.(segala kesilapan dan kelemahan mohon tunjuk dan maafkan)

Amalan membebankan keluarga si mati

Dalam laman blog dikenali sebagai Institut Al-Imam Syafie (Intis) seorang Pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Abdullah Bukhari Abdul Rahim menulis amalan kenduri arwah ini sudah pasti menyusahkan keluarga si mati yang masih lagi bersedih dengan kehilangan orang tersayang.

Katanya Rasulullah s.a.w ketika mendengar berita kematian Jaafar ibn Abi Talib, baginda bersabda: "Persiapkan makanan untuk keluarga Ja'far, kerana sesungguhnya mereka telah didatangi dengan apa yang menyibukkan mereka (kesusahan)." - Hadith riwayat al-Tirmidhi & Abu Dawud.

Keluarga si mati yang baru ditimpa musibah(al-Baqarah:155-157) perlu disokong dan dibantu.

Amalan di sesetengah tempat ini adalah salah, kerana katanya kesedihan keluarga si mati akan ditambah lagi dengan kesedihan lain seperti bebanan kewangan kerana perlu membayar upah orang membaca al-Quran, sembahyang jenazah dan kenduri arwah.

"Budaya mengadakan kenduri arwah bersempena kematian pada malam pertama, malam Jumaat, malam ketujuh, malam ke-40 dan malam ke-100 juga tidak mempunyai asas sama sekali dalam Islam," katanya yang dipetik dari laman web tersebut

Amalan itu membawa kepada pembaziran jika membabitkan penggunaan harta si mati tanpa jalan yang betul dan membabitkan penganiayaan harta anak yatim malah Majlis Fatwa Mesir pada 1947 memutuskan bahawa amalan berkenaan perlu dihentikan.

Ulama mazhab Syafie melarang kenduri arwah

Rujukan katanya boleh dibuat terhadap Kenyataan bekas Mufti Mesir Syeikh Hasanain Makhluf di dalam akhbar al-Ahram bertarikh 27 Julai 1947 dan Fatwa ini kemudian disahkan oleh Majlis Fatwa Mesir dan dikeluarkan dengan rasminya pada 14 Ogos 1947, bilangan 377.

Katanya lagi Ulama mazhab Syafie melarang budaya ini sebagaimana dipetik daripada buku Feqah Mazhab Syafie, al-Fiqh al-Manhaji.

Antara petikan kitab tersebut yang berbunyi:"Daripada bidaah apa dibuat keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan upacara dinamakan berlalunya 40 hari dan seumpamanya."

"Sekiranya perbelanjaan makanan itu daripada harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram.

"Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim itu. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya." ( rujukanjil 1/ ms 263, Damsyik: Dar al-Qalam).

Dalam pada itu pada Jun 2005 blog tersebut turut memetik ruangan Tazkirah di bawah tajuk 'Amalan Jahiliyyah Disangka Ajaran Agama' oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merujuk kepada pengarang kitab at-Tazkirah iaitu Al-Qurtubi berhubung isu kenduri arwah.

"Dengan jelas mengatakan bahawa diantara amalan jahiliyyah ialah mengadakan suatu himpunan beramai-ramai diperkuburan, di masjid atau di rumah dengan berzikir dan juga lain-lain bacaan, serta mengadakan jamuan makan minum dengan tujuan untuk orang mati, disebut orang sebagai kenduri Arwah.

"Dengan jelas perbuatan itu tiada Nas yang menjadi rujukannya dan tiada petunjuk sunnah yang menjadi ikutan, " kata Nik Aziz.

Kenyataan pahit dan mengejutkan

Kenyataan ini kata Nik Aziz mungkin agak keras dan pahit serta boleh jadi suatu penjelasan yang mengejutkan terutama terhadap mereka yang mengamalkan perkara tersebut secara ikut-ikutan dan membuta tuli tanpa mengkaji dari sudut ilmiyah.

"Tetapi inilah hakikat Islam yang mesti diakui oleh penganutnya yang sedia kembali kepada al-Quran dan Sunnah," katanya

"Tidak dapat dinafikan bahawa amalan tersebut telah berakar umbi di dalam masyarakat melayu, sehingga sebahagian dari mereka menganggap bahawa amalan tersebut adalah merupakan amalan agama yang mesti dilakukan setiap kali berlaku kematian," katanya lagi

Kata Nik Aziz lagi sungguhpun Nabi terlalu sayang terhadap umatnya terutama terhadap para sahabatnya yang sentiasa membantu Nabi di dalam suasana damai dan perang namun Nabi tidak pernah melakukan majlis zikir atau tahlil untuk sahabat-sahabatnya r.a yang mati.

"Orang yang paling sayang terhadap Nabi s.a.w. adalah para sahabatnya yang sentiasa berada di sisi Nabi siang dan malam, namun pernahkah terdapat para sahabat berhimpun dan berzikir dan bertahlil untuk Nabi s.a.w.?" katanya membangkitkan persoalan. Soalnya lagi jika perkara itu tidak dilakukan oleh Nabi dan juga para sahabat maka dari manakah punca amalan itu diambil.

"Apa yang paling mendukacitakan, mereka menganggap amalan tersebut sebahagian dari amalan Islam, padahal Rasulullah sa.w. tidak pernah menunjukkan contoh seperti itu dalam sunnahnya," katanya.

Bagi umat Islam marilah berlapang dada dalam menghadpi persoalan agama dengan menghayati petikan ayat daripada surah An-Nisaa' 4:59 :"Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah RasulNya dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." - mks.