Friday, August 29, 2008

Petugas Unit Amal meninggal dunia ketika hendak bertugas

Mohd Sabri Said
PERMATANG PAUH, 28 Ogos (Hrkh) - Seorang ahli Unit Amal Kawasan Permatang Pauh, Saiful Anzani Rozi,20, meninggal dunia pagi tadi di Hospital Seberang Jaya akibat kemalangan motosikal ketika menuju ke Sekolah Permatang Pasir untuk bertugas mengawal Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa.
Allahyarham yang tinggal di Kampung Permatang Janggus, Permatang Pauh di bawa ke hospital oleh rakanya mengalami pendarahan teruk dalaman di bahagian dada.
Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Permatang Janggus selepas Zohor hari ini.
Sebelum itu, semalam wakil Husam, Mohd Ali Akbar Yusuf menyampaikan sumbangan wang ringgit kepada ibu bapa Allahyarham di luar bilik ICU hospital berkenaan.
Beliau diiringi oleh Ahli Jawatankuasa Unit Amal Negeri, Mohd Aminudin Hashim dan Setiausaha Unit Amal Negeri Baharin Ahmad.
Bapanya, Rozi Din ketika dimaklumkan kemalangan yang menimpa sedang bertugas mengangkut pengundi Barisan Nasional (BN) manakala ibunya, Salmah Din sedang membuang undi.
Kejadian tersebut berlaku sekitar jam 12.20 tengahari apabila motosikal yang dinaikinya bertembung dengan sebuah lagi motosikal. Allahyarham dikatakan terhumban dan terkena tiang elektrik yang berada di bahu jalan.
Menurut Mohd Aminudin, Allahyarham memang seorang yang senang diajak berbincang dan sentiasa memberikan masa jika diarahkan.
Di malam terakhir Pilihan raya Kecil Permatang Pauh, Allahyarham dan rakanya terlibat dengan tugas sebagai pengawal keselamatan pimpinan PAS yang berada di sepanjang masa berkempen. Semoga keluarga allahyarham bersabar dengan tragedi yang menimpa. Al-Fatihah. - mks. _

Wednesday, August 20, 2008

SEKITAR TUGASAN MUKTAMAR KE-54 DI IPOH

Alhamdulillah Unit Amal Johor telah menghantar 17 orang petugas untuk bertugas selama 5 hari sempena Muktamar PAS ke-54 yang diadakan di Ipoh bermula pada 13 ogos hingga 17 ogos yang lalu. Berikut adalah gambar-gambar yang sempat ana "shoot".

Perbarisan Perasmian Muktamar Pemuda PAS Pusat


Kawalan Keselamatan Di Hotel Penginapan Mursyidul Am, Presiden Dan Seluruh Exco PAS Pusat Juga Delegasi-delegasi Asing.

Perbarisan Perasmian Muktamar Penuh
Keselamatan Di Dalam Dewan MuktamarMendengar Dengan Tumpuan Yang Penuh

Azhan Atan (Akademi Nasyid) Dan Wazi Abd. Hamid (x-Juara Cubprix & Jurulatih Moto GP)

Bertugas Di Ceramah Perdana

Bergambar Kenangan Bersama Pengarah Amal Pusat, Sebahagian ALP Pusat , Pengarah Amal Perak dan Terengganu.

Kepada seluruh penyumbang kewangan, kami di Jabatan Amal Negeri Johor mengucapkan jazakallahu khairan kathira. Juga kepada petugas-petugas Unit Amal Johor khususnya dan Unit Amal sekuruh Malaysia umumnya tahniah diucapkan tahniah kepada antum semua kerana telah menjalankan tugasan dengan penuh komitmen dan komited disepanjang berlangsungnya MUKTAMAR PAS KE-54. Takbir!!!
Jumpa Lagi...


Tuesday, August 19, 2008

Pemimpin perlu selami derita rakyat - Ustaz Idris

Ramai orang mahu jadi pemimpin kerana senang kaya, dapat pangkat, kuasa dan populariti. Jawatan pemimpin tidak lagi dianggap amanah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Timbalan Pengarah Tarbiyah PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menjelaskan maksud 'ulul amri' ketika diwawancara Harakahdaily.

HARAKAH: Ramai orang mahu jadi pemimpin tetapi segelintir berjaya memegang jawatan pemimpin. Boleh ustaz jelaskan perkara ini?

USTAZ IDRIS: Pertama apabila kita bercakap soal kepimpinan, perkara yang perlu kita sedar ialah apabila lahir seseorang, dia tidak akan terus menjadi pemimpin yang baik. Ia perlu pada satu bentuk latihan (tamrin) yang perlu kita lakukan, satu oleh parti kepada dia dan yang kedua dia sendiri bersedia untuk diprogramkan untuk menjadi pemimpin dan kita mempunyai piawai dan kalau tidak pun Nabi Muhamad s.a.w., Khalifah Ar-Rasidin yang kita anggap sebagai satu lambang paling tinggi.
Begitu juga kepada yang sering diuar-uarkan ialah berkenaan dengan pemerintahan Sayidina Umar Abdul Aziz. Sekurang-kurangnya kita mesti menuju ke arah itu. Setakat hari ini kita melihat tidak ada lagi yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin agung dunia yang bukan di kalangan umat Nabi Muhamad s.a.w. Kita dapat buktikan bagaimana Baginda sendiri walaupun dunia itu berada di bawah tapak kakinya, tetapi Baginda masih dapat kekalkan sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat dan mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
Maka dengan itu sepatutnya kita berasa tercabar dan berasa malu dengan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menjadikan Umar Abdul Aziz sebagai ikon. Sepatutnya kita sebagai pemimpin dan wakil rakyat PAS kena rasa tercabar dengan kenyataan ini dan berusaha lebih daripada Guan Eng.
Ini yang perlu kita lakukan supaya orang tidak akan nampak kita sebagai parti yang hanya tahu bercakap tetapi tidak sama dengan apa yang dilakukan.

Apa yang menyebabkan sebahagian besar pimpinan atau wakil rakyat sukar untuk menunaikan janji dan mesra rakyat selepas meraih kemenangan?

Sebenarnya dalam soal ini, Islam telah memberikan satu formula yang mudah bagi kita. Satu dalam soal bab dunia kita kena melihat orang yang lebih bawah daripada kita.
Kita kena melihat penderitaan rakyat dan penderitaan penyokong tegar PAS. Mereka bertungkus-lumus untuk kejayaan pemimpin. Mereka tidak mengharapkan wang malahan mereka mengorbankan segala-galanya.
Pengalaman saya bertanding dalam pilihan raya umum ke-12. Kadang-kadang saya hendak menitis air mata apabila melihat pengorbanan penyokong PAS di peringkat bawahan.
Malam penamaan calon di Batu 9 di Pejabat Perhubungan PAS Kedah, seorang tua datang kepada saya. Saya tengok cara pakaian dan hidup memang dia seorang yang susah. Orang kampung, tetapi dia bagi duit RM10 kepada saya. "Ambil la ustaz, inilah yang saya boleh...(ketika menceritakan peristiwa itu Ustaz Idris terhenti seketika menahan sebak).
"Inilah yang saya boleh sumbangkan untuk...(Ustaz Idris sebak dan terdiam) untuk perjuangan PAS. Saya tidak boleh bagi apa, ini saja yang saya boleh bagi. Saya tolak, saya kata saya tak nak...(kata-kata ustaz terhenti dan menangis...).
Saya kata saya tak nak duit itu saya nak bagi balik duit itu. Lama-lama dia menghilang.
Itulah contoh yang dapat kita lihat bagaimana pengorbanan orang bawahan kita.
Sebab itu kita mesti meletakkan sikap pakcik itu sebagai satu contoh yang boleh mendidik diri. Ini dalam soal dunia.
Unit Amal merupakan ikon saya kerana boleh mendidik jiwa saya. Saya merasakan Unit Amal berkhidmat tidak ada benda yang mereka harapkan daripada parti. Mereka bertungkus-lumus, berhujan panas dan mereka langsung tidak ada kepentingan dunia.
Sebab itu kita lihat Nabi Muhammad s.a.w. dididik hatta dipelihara oleh Abu Talib. Abu Talib orang susah. Sebab itu Nabi cukup prihatin terhadap orang susah. Banyak hadis yang menunjukkan tentang "Sesiapa yang tidak ambil tahu tentang urusan saudara kami yang lain maka dia bukan daripada kalangan aku."
Ini menunjukkan perlunya kita mengambil berat berkenaan masalah rakyat terutama mereka yang kurang bernasib baik.
Tanggungjawab pemimpin itu berat tetapi mengapa senario sekarang ramai berebut-rebut untuk menjadi pemimpin?

Kita tengok Sayidina Umar Al-Khattab ketika dilantik menjadi pemimpin, sehingga dia memberitahu; "Kalaulah jalan yang dibuat itu walaupun manusia jarang lalu tapi oleh kerana yang lalu itu kalau ada binatang yang jatuh sebab rosak jalan itu Umar akan ditanya oleh Allah SWT."
Ini menunjukkan Sayidina Umar tahu betapa beratnya tanggungjawab seorang pemimpin. Kita sekarang bukan masalah binatang yang memerlukan bantuan tetapi manusia amat memerlukan kepada prihatin seorang pemimpin.
Sayidina Umar pergi ziarah malam-malam tengok rakyatnya. Ini suatu perkara yang sukar untuk dilakukan oleh pemimpin. Ini perkara yang pernah ditunjukkan dalam sejarah Islam tentang tanggungjawab Sayidina Umar terhadap rakyatnya.
Hadis Nabi bermaksud; tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah SWT antaranya ialah pemimpin yang adil akan duduk dekat dengan Nabi dan mendapat perlindungan Arsy nanti tetapi dalam masa yang sama ada dugaan.
Sebab itu Sayidin Umar Al-Khattab waktu anak dia (Abdullah) hendak dicalonkan menjadi penggantinya, Umar berkata; "cukuplah keluarga Umar tidak mampu menghadapi soalan di hadapan Allah SWT."
Sedangkan Umar cukup terkenal dan boleh digandingkan dengan dua Umar, satu Umar Al-Khattab dan Umar Al-Aziz yang cukup hebat. Itu pun mereka berasa gerun dengan soalan pada hari akhirat.

Bagaimana pandangan ustaz apabila pemimpin dalam parti terlalu diagung-agunkankan?

Islam tidak membenarkan manusia mengagungkan Nabi Muhamad s.a.w. melebihi Allah SWT. Hubungan Nabi Muhammad s.a.w. dengan manusia sebagai umat dengan Rasul. Kita berdoa dengan Allah bukan dengan Nabi Muhammad s.a.w.
Baginda tidak membenarkan manusia terlalu mengagungkannya. Ini perlu dijadikan sebagai asas dalam kehidupan kita jika mahu menjadi pengikut kepada seorang pemimpin.
Kita perlu menjadi pengikut selagi pemimpin tidak menyuruh perkara yang bertentangan dengan agama Islam. Nabi Muhammad s.a.w. menyebut; "Tidak boleh taat kepada makhluk yang melakukan maksiat kepada Allah."
Sebab itu PAS tidak pernah mendewa-dewakan mana-mana pemimpin. Dalam sukatan tarbiyah, PAS meletakkan akidah Islam sebagai utama. Ahli PAS menyertai perjuangan parti bukan kerana seorang pemimpin.
PAS tetap mempunyai dasar yang begitu dan ini suatu kejayaan. Dalam soal pengikut kita tidak taksub kepada mana-mana pemimpin.
PAS pernah kehilangan Yang Dipertua pertama, Tuan Guru Haji Muhammad Fuad tetapi PAS terus bergerak dan dipimpin oleh Dr Abbas. PAS kehilangan Dato' Asri Muda tokoh yang hebat tetapi apabila beliau keluar parti PAS terus mara.
Begitu juga kita pernah kehilangan Setiausaha Agung PAS, Osman Abdullah; panglima jihad Ustaz Azhar Ali; bekas Menteri Besar Kelantan, Dato' Mohd Nasir dan bekas Naib Presiden PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad�yang banyak membuat kertas kerja PAS serta membentang program tarbiyah tapi apabila masuk Umno ahli PAS tidak mengikut jejak beliau. Ini menunjukkan kita tidak taksub kepada mana-mana pemimpin.
Ahli PAS berjuang bukan kerana pemimpin tetapi dasar yang PAS pegang. Itu yang sepatutnya ahli PAS pegang. Dan itu juga yang Nabi ajar kepada umat-Nya.
Kita boleh jadikan seorang pemimpin itu sebagai ikon selagi dia berpegang dengan prinsip agama. Jika pemimpin tersebut menyimpang daripada prinsip agama kita tidak perlu taat kepadanya. - lanh _