Monday, December 10, 2007

Naib Presiden PAS Kena Tangkap

IPOH: Sepasukan polis semalam menahan Naib Presiden PAS Mohamad Sabu ketika dalam perjalanan pulang daripada menghadiri majlis perkahwinan anak perempuannya di Tambun di sini petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak SAC II Ismail Yatim yang mengesahkan penahanan itu berkata ia adalah untuk membantu siasatan berhubung perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 10 Nov lepas.

Beliau berkata polis tidak terus menahan Mohamad, sebaliknya memberi peluang kepada beliau untuk menghantar keluarganya pulang ke rumah di Kepala Batas, Pulau Pinang terlebih dahulu.

"Tiga peguam beliau yang hadir juga memberi jaminan Mohamad Sabu akan menyerah diri di rumahnya sebaik sahaja menghantar keluarganya pulang. Sebab itu polis cuma mengiringi kenderaan beliau sehingga tiba di rumah," katanya ketika dihubungi di sini.

Difahamkan dalam kejadian pukul 5 petang itu, kenderaan Naza Ria yang dinaiki keluarganya disekat oleh tiga kenderaan polis di sebatang jalan berhampiran simpang masuk ke sebuah pasar raya terkemuka di sini.

Semasa kejadian, beberapa anggota keluarga beliau yang menyertai rombongan perkahwinan itu turut berada di tempat kejadian.

Bagaimanapun, kenderaan yang dinaiki beliau dan keluarganya kemudian diiringi beberapa kereta polis meninggalkan tempat itu menuju ke destinasi yang tidak diketahui. BERNAMA

No comments: