Monday, December 24, 2007

PAS Pahang hargai semua pihak yang membantu mangsa banjir



TEMERLOH, 23 Dis (Hrkh) - PAS Pahang menghargai sumbangan yang dihulurkan semua pihak dalam membantu mangsa banjir di Pahang.
Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata banjir yang melanda Pahang 10 Disember lalu adalah luar biasa sehingga pihak berkuasa sendiri tidak menjangkakannya, menyebabkan bantuan lambat tiba dan sebagainya.
Kenyataan kerajaan kononya bersedia menghadapi banjir adalah kata-kata kosong sahaja, ini kerana apabila banjir berlaku ternyata banyak kelemahan dapat disaksikan, katanya.
"Mereka ada bot, bot tiada enjin, enjin rosak dan sebagainya, mereka tidak bersedia," ujarnya ketika menerima bantuan daripada PAS Johor.
PAS Johor diketuai Pesuruhjayanya, Dato' Dr Mahfuz Muhamad menyerahkan cek RM5,000 berserta 36 kotak biskut sebagai bantuan kepada mangsa banjir di Pahang.
Turut bersama ialah pasukan Amal Johor seramai 50 anggota, yang akan bertugas membersih rumah mangsa banjir di sekitar Maran.
Bersama Dr. Mahfuz ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Haji Atan Gombang, Setiausaha Badan Perhubungan, Haji Amin Sairan, Bendahari dan Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Johor, Mustapa dan Haji Jufri Selamat
Katanya penghargaan wajar diberi kepada pasukan Amal kerana mereka bertungkus lumus membantu mangsa malah memasak makanan untuk dihantar kepada magsa khususnya di kawasan Matau, Bandar Jengka.
Di situ mereka menyediakan antara 300-400 bungkusan nasi sehari dan ketika itu bantuan dari pihak lain belum tiba lagi.
Sementara itu, Setiausaha Ekskutif PAS Pahang, Roslan Ahmad berkata, pihaknya telah menerima hampir RM22,000 sumbangan daripada pelbagai pihak beserta barangan untuk diagih-agih kepada mangsa banjir di kawasan terlibat dengan bencana itu.
Antara penderma termasuklah Tabung Kebiskinan Harakah (RM10,000), PAS Perak (RM6,600) PAS Melaka (RM2,000) serta NGO dari selangor yang menyumbang (RM1,500) beserta satu lori barangan berupa beras, kueh raya, daging, pakaian dan sebagainya.
"Sebahagian besar barangan dan wang Tunai telah disalurkan kepada kawasan Bera, Pekan, Temerloh dan Maran yang teruk dilanda banjir," ujarnya.
Badan Perhubungan juga menghulurkan sumbangan RM500 kepada dua sekolah Rendah Islam AT Taqwa dan Al-Mukmin yang teruk dilanda banjir serta menghantar pasukan Amal bagi membersihkan kedua-dua sekolah itu.
Roslan mengucapkan terima kasih kepada semua organisasi dan orang perseorangan (nama tidak disebutkan) yang menghulurkan bantuan sama ada melalui Badan Perhubungan Negeri mahupun terus kepada PAS di kawsan terlibat. - mns-->

No comments: