Monday, December 24, 2007

PAS Pahang hargai semua pihak yang membantu mangsa banjir



TEMERLOH, 23 Dis (Hrkh) - PAS Pahang menghargai sumbangan yang dihulurkan semua pihak dalam membantu mangsa banjir di Pahang.
Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata banjir yang melanda Pahang 10 Disember lalu adalah luar biasa sehingga pihak berkuasa sendiri tidak menjangkakannya, menyebabkan bantuan lambat tiba dan sebagainya.
Kenyataan kerajaan kononya bersedia menghadapi banjir adalah kata-kata kosong sahaja, ini kerana apabila banjir berlaku ternyata banyak kelemahan dapat disaksikan, katanya.
"Mereka ada bot, bot tiada enjin, enjin rosak dan sebagainya, mereka tidak bersedia," ujarnya ketika menerima bantuan daripada PAS Johor.
PAS Johor diketuai Pesuruhjayanya, Dato' Dr Mahfuz Muhamad menyerahkan cek RM5,000 berserta 36 kotak biskut sebagai bantuan kepada mangsa banjir di Pahang.
Turut bersama ialah pasukan Amal Johor seramai 50 anggota, yang akan bertugas membersih rumah mangsa banjir di sekitar Maran.
Bersama Dr. Mahfuz ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Haji Atan Gombang, Setiausaha Badan Perhubungan, Haji Amin Sairan, Bendahari dan Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Johor, Mustapa dan Haji Jufri Selamat
Katanya penghargaan wajar diberi kepada pasukan Amal kerana mereka bertungkus lumus membantu mangsa malah memasak makanan untuk dihantar kepada magsa khususnya di kawasan Matau, Bandar Jengka.
Di situ mereka menyediakan antara 300-400 bungkusan nasi sehari dan ketika itu bantuan dari pihak lain belum tiba lagi.
Sementara itu, Setiausaha Ekskutif PAS Pahang, Roslan Ahmad berkata, pihaknya telah menerima hampir RM22,000 sumbangan daripada pelbagai pihak beserta barangan untuk diagih-agih kepada mangsa banjir di kawasan terlibat dengan bencana itu.
Antara penderma termasuklah Tabung Kebiskinan Harakah (RM10,000), PAS Perak (RM6,600) PAS Melaka (RM2,000) serta NGO dari selangor yang menyumbang (RM1,500) beserta satu lori barangan berupa beras, kueh raya, daging, pakaian dan sebagainya.
"Sebahagian besar barangan dan wang Tunai telah disalurkan kepada kawasan Bera, Pekan, Temerloh dan Maran yang teruk dilanda banjir," ujarnya.
Badan Perhubungan juga menghulurkan sumbangan RM500 kepada dua sekolah Rendah Islam AT Taqwa dan Al-Mukmin yang teruk dilanda banjir serta menghantar pasukan Amal bagi membersihkan kedua-dua sekolah itu.
Roslan mengucapkan terima kasih kepada semua organisasi dan orang perseorangan (nama tidak disebutkan) yang menghulurkan bantuan sama ada melalui Badan Perhubungan Negeri mahupun terus kepada PAS di kawsan terlibat. - mns-->

Monday, December 10, 2007

Naib Presiden PAS Kena Tangkap

IPOH: Sepasukan polis semalam menahan Naib Presiden PAS Mohamad Sabu ketika dalam perjalanan pulang daripada menghadiri majlis perkahwinan anak perempuannya di Tambun di sini petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak SAC II Ismail Yatim yang mengesahkan penahanan itu berkata ia adalah untuk membantu siasatan berhubung perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 10 Nov lepas.

Beliau berkata polis tidak terus menahan Mohamad, sebaliknya memberi peluang kepada beliau untuk menghantar keluarganya pulang ke rumah di Kepala Batas, Pulau Pinang terlebih dahulu.

"Tiga peguam beliau yang hadir juga memberi jaminan Mohamad Sabu akan menyerah diri di rumahnya sebaik sahaja menghantar keluarganya pulang. Sebab itu polis cuma mengiringi kenderaan beliau sehingga tiba di rumah," katanya ketika dihubungi di sini.

Difahamkan dalam kejadian pukul 5 petang itu, kenderaan Naza Ria yang dinaiki keluarganya disekat oleh tiga kenderaan polis di sebatang jalan berhampiran simpang masuk ke sebuah pasar raya terkemuka di sini.

Semasa kejadian, beberapa anggota keluarga beliau yang menyertai rombongan perkahwinan itu turut berada di tempat kejadian.

Bagaimanapun, kenderaan yang dinaiki beliau dan keluarganya kemudian diiringi beberapa kereta polis meninggalkan tempat itu menuju ke destinasi yang tidak diketahui. BERNAMA

Tuesday, October 23, 2007

Muar dilanda banjir teruk, Unit Amal PAS beri bantuan segera

TERKINI! MUAR, 22 Okt (Hrkh) - Hujan lebat berterusan selama empat jam mengakibatkan banjir kilat melanda tiga buah kampung dekat sini, memaksa penduduk dipindahkan ke tempat selamat.

Setakat ini, lebih 50 orang dari beberapa keluarga telah dipindahkan ke Pasti Parit Jawa berikutan pusat pemindahan banjir agak lewat dibuka pihak berkenaan.

Unit Amal PAS Kawasan Muar bertindak pantas menyelamatkan keluarga terbabit dan membekalkan bantuan makanan serta menyiapkan sarapan pagi untuk mangsa-mangsa terbabit sementara menunggu bantuan kerajaan.

Tiga buah kampung terbabit adalah Kampung Payar Lebar, Kampung Parit Shafie dan Kampung Parit Salman.

Harakahdaily difahamkan kawasan perkampung ini tidak terbabit dalam banjir besar yang melanda Johor tahun lalu dan dianggap antara kawasan penempatan yang selamat.

Bagaimanapun, hujan lebat sejak beberapa hari lepas membimbangkan penduduk.

Kampung-kampung terbabit mengalami banjir kilat yang agak teruk kerana air naik mendadak sehingga ke paras 1.5 meter dan di sesetengah kawasan air naik hingga ke tahap pinggang.

Berita lanjut menyusul. - mr

www.harakahdaily.net



Thursday, October 11, 2007

Selamat Hari Raya

SALAM AIDIL FITRI
Maaf Zahir Batin
Ahli Lembaga Pengarah
Jabatan Amal DPPN Johor

Monday, September 10, 2007

Unit Amal Air Hitam Bertugas Di Sukaneka PASTI Air Hitam

Sebahagian ahli Unit Amal Kawasan Air Hitam yang bertugas semasa Sukaneka Tahunan yang dianjurkan oleh PASTI Kawasan Air Hitam. Turut membantu ialah Saudara Noor Khalim bin Sakib, Pengarah Unit Amal Johor.

Sdr Isa bin Mat Som sedang berbincang dengan beberapa orang sahabat untuk mengendalikan acara untuk ibubapa yang hadir.
Sdr Noor Khalim menyertai acara melastik tin. Tetapi beliau gagal mendapat sebarang hadiah.