Thursday, July 06, 2006

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Hrkh) - PAS bersedia memaafkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, jika beliau ikhlas membuat pengakuan bersalah di atas semua dakwaan salahlaku terhadap beliau sebelum ini, lapor akhbar The Borneo Post dan Berita Harian edisi Sabah hari ini.
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dipetik sebagai berkata, bahawa Dr Mahathir banyak melakukan kesalahan terutamanya terhadap parti-parti pembangkang dalam tempoh lebih 22 tahun menjadi Perdana Menteri.
"Kami sudah tentu memaafkan beliau, jika beliau sedia mengakui kesalahan yang dilakukannya," kata Ustaz Hadi dalam sidang akhbarnya di Kota Kinabalu dalam lawatan beliau ke Sabah.
Beliau diiringi oleh Pesuruhjaya PAS Sabah, Haji Muhamad Abdullah dan timbalannya, Ladim Abdul Rahman.
Ustaz Hadi berkata, PAS sedia memaafkan sesiapa sahaja jika pengakuan dibuat dengan ikhlas, kerana sifat pendendam adalah dilarang dalam Islam.
"Sekiranya ikhlas, kita sedia memaafkan Dr Mahathir untuk kepentingan negara," katanya.
Menyentuh mengenai pertelagahan antara Dr Mahathir dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, beliau mengakui PAS mendapat manfaat politik dari situasi yang berlaku.
Katanya, sebagai sebuah parti politik PAS wajib mengambil kesempatan yang positif, bukan negatif daripada kemelut yang berlaku sekarang.
Presiden PAS menegaskan, kedua-duanya Mahathir dan Abdullah bertanggungjawab ke atas semua masalah yang menjejaskan negara dan mereka juga mesti membuat penjelasan yang terperinci kepada rakyat.
Menyentuh mengenai kehadiran wakil PAS ke majlis syarahan Mahathir di Taman Melawati 24 Jun lepas, Ustaz Hadi menegaskan, PAS sedia bekerjasama dan menjalinkan hubungan dengan semua pihak demi kepentingan negara.
Dalam sidang akhbar tersebut, Ustaz Hadi juga mengulas mengenai masa depan PAS Sabah yang semakin mendapat sokongan khususnya dari kalangan generasi muda dan golongan profesional.
Katanya, golongan muda memberikan respon yang baik terhadap kehadiran PAS di Sabah, khususnya dalam pilihan raya umum lepas, calon PAS tidak kehilangan wang pertaruhan dan mendapat pertambahan undi yang memberangsangkan.
Beliau berkata, PAS semakin bertapak di Sabah dan semakin mendapat sokongan masyarakat berbilang kaum di negeri tersebut.
"PAS boleh menang asalkan pilihan raya dijalankan dan media tidak dikongkong," kata beliau.

No comments: