Wednesday, July 26, 2006


Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa golongan Yahudi tidak boleh mematikan agama Islam walaupun telah berjaya mendirikan negara haram Israel.Katanya, walaupun mereka dibekalkan dengan segala kekayaan harta dan senjata yang paling moden oleh seluruh kumpulan Yahudi di dunia dan kumpulan negara umat Islam yang bersekongkol dengannya, namun mereka tidak boleh memadamkan cahaya Islam.
Ini, katanya menunjukkan kebenaran sabda Nabi Muhammad s.a.w. bahawa terdapat di kalangan umat Islam yang terikut-ikut dengan golongan Yahudi.
“Hari ini Allah mendedahkan kepada kita siapa yang benar-benar dalam cahaya Islam dan siapa yang terpengaruh dengan Yahudi laknatullah,” ujarnya ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Rusila, baru-baru ini.
Beliau turut membaca qunut nazilah semasa solat Jumaat dan mengimami solat hajat selepas itu memohon Allah melindungi umat Islam Palestin daripada kezaliman Yahudi.
Katanya, musuh-musuh Islam tidak menduga berlakunya kebangkitan semula umat Islam sekarang setelah mereka merosakkan pemikiran dan memusnahkan ekonomi serta politik umat Islam.
“Tiba-tiba muncul kumpulan Islam yang berjaya menegakkan Islam di bumi Palestin di atas nama Islam, Harakat al-Muqawamah al-Islamiyyah (Hamas) untuk mengembalikan syariat Allah di bumi Palestin,” ujarnya.
Menurutnya, keadaan itu berlaku setelah umat Islam negara itu kecewa dengan golongan sekular yang kononnya mendapat bantuan kuasa besar Timur dan Barat tetapi menipu mereka.
Katanya, golongan Yahudi berusaha untuk menghapuskan kumpulan Islam dibangkitkan oleh Allah itu dengan merompak harta, segala kegiatan dikepong dan pemimpin mereka ditangkap.
Bagaimanapun, tegasnya Allah melahirkan golongan yang mempertahankan Islam di mana-mana sehingga muncul kumpulan Hizbullah di Lubnan yang menggunakan senjata yang sederhana bagi menentang senjata Israel yang canggih.
Jelasnya, Allah telah mendedahkan di dalam al-Quran bahawa Yahudi adalah bangsa yang penakut.
Menurutnya, bangsa Yahudi tidak berani berperang di medan yang terbuka melainkan mereka di dalam kota-kota yang teguh, dalam kereta kebal yang kuat dan di dalam kubu-kubu di bawah tanah dengan menggunakan senjata jarak jauh.
“Hari ini Allah mengulangi sekali lagi mukjizat al-Quran sebenarnya mereka bangsa yang penakut dan Allah mendedahkan di kalangan umat Islam ada yang munafik dan lemah imannya, yang tidak percaya kepada pertolongan Allah,” ujarnya.
Beliau menambah, apa yang berlaku sekarang adalah ujian Allah untuk menapis umat Islam bagi membezakan di antara orang-orang yang benar-benar beriman atau berbohong serta mereka yang lemah iman.
“Jelas kepada kita negara-negara umat Islam sebahagian besarnya dipimpin oleh sama ada golongan munafik atau orang yang lemah imannya, bukan kuat iman,” katanya.
Ini, katanya menunjukkan umat Islam di seluruh dunia masih ada lagi orang-orang yang mempunyai keimanan yang kuat dan berpegang dengan agama Allah.
“Marilah kita membuat muhasabah diri dalam zaman yang penuh dengan cabaran ini supaya kita bersama dengan kumpulan Islam,” ujarnya.

No comments: