Sunday, July 16, 2006

Kumpulan Artikel 11 Cuba Mencabar Umat Islam Di Johor

Kenyataan Rasmi Yang Dikeluarkan Dewan Pemuda PAS Johor

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) ingin mempertegaskan bahawa sebarang usaha untuk mengadakan program yang bertujuan menghina Islam dan menghina undang-undang syariah secara langsung atau tidak langsung perlu dihentikan khususnya di negeri Johor kerana ia bakal mengundang perbalahan dan pertikaian sehingga memungkinkan perkara-perkara yang tidak diingin akan terjadiDPPNJ membuat kenyataan ini di atas sikap untuk memastikan bahawa agama Islam tidak diperlekehkan.
DPPNJ telah mendapat maklumat bahawa terdapat usaha-usaha yang sedang disusun oleh Kumpulan Artikel 11 iaitu kumpulan yang mengandungi 13 Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk mengadakan program yang pernah diadakan di Pulau Pinang pada 14 Mei 2006 yang lalu. Program ini telah mendapat bantahan secara besar-besaran di hadapan Hotel Cititel, Penang Road oleh Badan Anti Suruhanjaya Antara Agama – IFC (BADAI). DPPNJ dimaklumkan bahawa program ini akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di Bandaraya Johor Bahru pada 22 Julai 2006 yang akan datang. Kehadiran Kumpulan Artikel 11 ini ke Johor membuktikan bahawa golongan ini langsung tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam. Bagi menangani perkara ini, DPPNJ akan cuba menggunakan setiap saluran diplomasi yang ada untuk memastikan program ini terbatal.
DPPNJ juga akan berusaha untuk membuat bantahan secara rasmi dan mendesak agar Jabatan Agama Johor serta Dato’ Nooh Bin Gadut selaku Mufti Negeri Johor menyatakan pendirian mereka dan seterusnya menghalang kumpulan Artikel 11 daripada meneruskan agenda mereka.
DPPNJ juga mendesak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Negeri Johor mengambil tindakan sewajarnya terhadap program ini. Terbukti bahawa ketika program ini diadakan di Pulau Pinang, tiada permit dikeluarkan oleh PDRM.DPPNJ bimbang sekiranya usaha secara diplomasi gagal untuk dicapai, umat Islam yang selama ini sangat bertolak ansur akan hilang pertimbangan sehingga menimbulkan perkara yang tidak diingini.Sekian, wassalam

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830 /013-7257085
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: