Friday, January 26, 2007

Misi Kemanusiaan















Batu Pahat, 26 Januari - Banjir Gelombang Kedua di Johor sudah dalam proses pemulihan di semua daerah kecuali di daerah Batu Pahat. Sedia maklum, daerah Batu Pahat masih lagi menghadapi takungan air di beberapa buah kampung dan jalan-jalan di sekitar daerah ini.

Antara yang masih menghadapi 'takungan' air ini adalah Sri Medan, Parit Yaani, Seri Bengkal, Sengkuang, Parit Sulung, Parit Awang, Parit Andin. Walaupun megah dengan nama 'parit' tersebut, namun hakikatnya parit itu hanya pada nama.. Kampung-kampung ini juga menjadi perhatian media massa tempatan bagi membuat liputan tentang 'peliknya' keadaan ini. Satu situasi di daerah lain sudah surut airnya, tapi lain pula keadaan di batu Pahat.

Setakat hari ini, masih terdapat lebih 50 000 mangsa banjir yang dipindahkan di pusat-pusat penempatan banjir. Kesemua mereka masih tidak dibenarkan pulang kerana air masih lagi bertakung di rumah-rumah mereka.

Sementara itu, di daerah lain seperti Kota Tinggi dan Segamat, banjir sudah surut sepenuhnya menyebabkan aktiviti mencuci dan berkemas sudah dilakukan oleh kebanyakan penduduk. Unit Amal Johor turut bersama penduduk lain membantu meringankan beban mangsa banjir ini dengan menghulurkan tenaga amal membantu mencuci rumah.

Walau bagaimanapun, keadaan cuaca kini semakin menggusarkan penduduk terutamanya penduduk di Batu Pahat apabila hujan sudah mula turun berterusan sejak beberapa hari lalu. Peringatan dari Pusat Meteriologi Negara juga turut mengukuhkan anggapan bahawa kekhuatiran gelombang ketiga akan berlaku.

Keadaan mendung dan kadangkala hujan lebat sekejap-sekejap yang berlaku kini seolah-olah menjadi trauma dan igauan ngeri kepada semua penduduk Johor. Beberapa penduduk yang ditemui berkata, keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang ini menyebabkan ramai yang tidak berkemas dan mencuci rumah mereka dan bersedia untuk menerima gelombang ketiga sekiranya benar-benar terjadi.

Beberapa penduduk juga menyatakan betapa dahsyatnya banjir ini terutama pada gelombang kedua yang menyebabkan ramai kehilangan sumber pendapatan, hilang pekerjaan, musnah harta benda dan kerugian besar.

Unit Amal Johor bersama-sama Unit Amal negeri lain turut turun padang membantu meringankan beban mangsa banjir dengan mengagihkan bantuan berupa makanan, beras, pakaian dan juga menyebarkan risalah Hikmah banjir kepada semua mangsa.

No comments: