KUALA LUMPUR, 16 Mei (Hrkh) : Para guru mempunyai peranan yang amat penting dalam pembinaan ummah kerana runtuhnya institusi guru bermakna akan runtuhlah institusi ummah.Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Idris Ahmad menegaskan perkara itu dalam ucapan Hari Gurunya yang dirayakan hari ini di seluruh negara.Beliau menyeru para guru menjadikan Hari Guru yang disambut pada 16 Mei setiap tahun sebagai hari untuk meningkatkan lagi usaha mengembalikan darjat dan kedudukan guru di mata masyarakat seperti sebelum ini sebagai tema perjuangan mereka."Sejarah membuktikan guru-guru merupakan golongan yang sangat dipandang tinggi dan diletakkan pada kedudukan yang begitu dihormati oleh masyarakat kita sebelum ini."Guru sebelum ini adalah pencetus kesedaran agama, kesedaran untuk memperjuangkan kemerdekaan malah kesedaran berorganisasi bukan sahaja di kalangan masyarakat Melayu malah seluruh penduduk negara ini," kata beliau ketika menjelaskan kedudukan guru sebelum ini.Malah, katanya, para guru ketika itu memainkan peranan yang sangat utama dalam mencorakkan pemikiran ummah."Di dalam bidang politik, para guru ketika itu adalah jurubicara kepentingan dan perkara-perkara yang mendasari ummah di peringkat bawahan," kata Ustaz Idris.Antara tokoh guru yang memainkan peranan yang sangat penting dalam mencorakkan pemikiran ummah dan membina keperibadian mereka ialah Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir, kata beliau.Beliau juga menyeru para guru supaya tidak memandang apa yang mereka lakukan hanya sebagai pekerjaan semata-mata."Tugas guru bukan hanya memindahkan ilmu pengetahuan atau knowledge transfer sahaja malah menurut Imam Shafie, taraf guru begitu hampir dengan kedudukan rasul."Perlu diingati seorang rasul bukan sekadar menyampaikan wahyu sahaja malah mereka juga memastikan wahyu itu diterima dan diamalkan oleh ummah, memastikan kehendak wahyu terlaksana, mendidik ummah supaya selaras dengan ajaran wahyu yang mereka terima malah tugas seorang rasul hampir tidak ada titik noktahnya," kata beliau.Lantaran itulah, beliau menyeru para guru supaya mempertahankan kemuliaan profession mereka dan jangan sekali-kali merendahkan kedudukannya dengan menyifatkan pekerjaan sebagai guru hanyalah pilihan terakhir kerana tidak ada pekerjaan lain lagi.
No comments:
Post a Comment